Cristiano Ronaldo menambah senarai aksi sensasi dalam kariernya dengan gaya ala bola keranjang NBA menerusi tandukan yang membantu Juventus menewaskan Sampdoria dalam Serie A awal pagi tadi.

Skuad kendalian Maurizio Sarri, Juve, mencipta kemenangan 2-1 di Stadium Luigi Ferraris di Genoa tatkala Ronaldo meledakkan gol kemenangan sebelum rehat.

Dia mempamerkan ketinggian lompatan yang memukau -- sehingga disifatkan sebagai gaya pemain NBA oleh pengurus Sampdoria, Claudio Ranieri -- untuk menyambut bola hantaran Alex Sandro dan menanduk masuk melepasi Emil Audero.

Ia merupakan gol kedua daripada pelawat itu sebelum rehat selepas Paulo Dybala meledakkan gol hasil rembatan voli yang hadir hasil satu lagi hantaran lintang Sandro sebelum itu.

Gianluca Caprari menyamakan kedudukan buat Sampdoria tetapi dia sebaliknya diperintahkan keluar padang susulan kad kuning kedua sebelum Juve mengesahkan kemenangan.

"Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Sukar menentang Sampdoria yang beraksi dengan baik. Kami dapat memperbaiki persembahan dan berhak meraih kemenangan ini," ujar Ronaldo.

"Pasukan bermain dengan disiplin yang baik. Jaringan itu hebat, terutama kerana ia memberikan tiga mata. Saya tidak tahu saya telah melompat setinggi itu."

Ronaldo dan Juve kini akan mengalihkan perhatian kepada Lazio dalam aksi Piala Super Itali di Arab Saudi, Ahad ini.

"Aksi final sentiasa seimbang. Lazio adalah pasukan hebat tetapi saya yakin Juve mampu mencipta kemenangan."