Cristiano Ronaldo "sudah pasti" akan diturunkan Manchester United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle United malam ini, demikian disahkan pengurus pasukan itu, Ole Gunnar solskjaer.

Pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or itu melengkapkan kepulangannya ke Old Trafford dua minggu lalu dengan yuran pendahuluan bernilai €15 juta (RM73.28 juta) untuk kontrak selama dua tahun serta pilihan untuk melanjutkannya setahun lagi.

Selepas diberikan perlepasan untuk meninggalkan skuad kebangsaan Portugal lebih awal dan menjalani tempoh pengasingannya, Ronaldo melaporkan diri di pusat latihan United buat kali pertama pada Rabu lalu.

Dia mula berlatih dengan rakan sepasukannya sehari kemudian dan kelihatan bersedia untuk turun beraksi buat kali pertama dalam (EPL) sejak Mei 2009 -- tempoh paling lama di antara dua penampilan dalam sejarah kejohanan itu.

"Dia menjalani pramusim yang baik bersama Juventus, dia bermain untuk skuad kebangsaannya dan dia melalui minggu yang baik bersama kami di sini," kata Solskjaer dalam sidang media sebelum perlawanan itu.

"Pada satu tahap, dia pasti akan diturunkan di padang, itu sudah pasti."



Ronaldo menjaringkan 188 gol daripada 292 penampilan dalam tempoh pertamanya di United, yang bertahan selama enam tahun sebelum dia memilih untuk menyertai Real Madrid pada 2009.

Walaupun amat berkesan di depan gawang, kapten Portugal itu hanya dapat menghasilkan satu hatrik sepanjang tempoh pertamanya di Old Trafford -- ke atas Newcastle pada Januari 2008.

Solskjaer berharap ketibaan bekas penyerang Juventus itu akan membantu pemain lain dalam skuad United untuk meyerlahkan potensi mereka selepas merekodkan dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam tiga perlawanan pertama EPL musim ini.

"Semua orang gembira dengan kepulangannya. Dia boleh bercakap untuk dirinya sendiri tetapi dia juga kelihatan amat gembira dapat pulang ke sini.

"Suasananya amat baik dan kami bersedia untuk beraksi Sabtu ini (malam ini).

"Dengan caranya masuk ke sini dan menjaga dirinya... kita tahu apa yang telah dicapai dalam kariernya tetapi dia datang ke sini untuk mencapai lebih banyak lagi.

"Dia hidup sebagai seorang pemain profesional terbaik sejak kali pertama dia datang ke sini. Anda tidak boleh datang ke latihan dengan hanya memberikan 95 peratus dan tidak fokus, itulah yang dimahukannya daripada setiap orang," katanya lagi.