Selepas menjuarai Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut dan menamatkan kemarau mahkota LaLiga, Cristiano Ronaldo dengan pantas mengalihkan perhatiannya kepada gelaran individu dan Ballon d'Or.

Ronaldo memperagakan aksi juara di Cardiff semalam, dengan menjaringkan dua gol bagi membantu Real Madrid menang 4-1 ke atas Juventus untuk kejuaraan ke-12 dalam kejohanan itu.

Tiada pasukan dapat mengekalkan trofi mereka dalam era Liga Juara-Juara sehingga Ronaldo dan rakan sepasukannya di bandaraya Wales itu dan ia mencetuskan kemeriahan di Madrid.

Pulang di laman sendiri di Santiago Bernabeu, Ronaldo menjadi tumpuan apabila dia turut bersorak bersama penyokong yang menyebut pencalonannya untuk Ballon d'Or.

Ketika bercakap di depan penyokong, pemenang empat kali Ballon d'Or, Ronaldo -- yang menamatkan musim ini dengan 42 gol dalam semua pertandingan dan muncul penjaring terbanyak Liga Juara-Juara -- menyertai peminat untuk menyanyikan, "Cristiano, Ballon d'Or".

Dia mengumpul 12 gol dalam Liga Juara-Juara, mengatasi pesaing dari Barcelona dan pemenang lima kali, Lionel Messi, yang merekodkan 10 jaringan dalam kejohanan itu.

Ronaldo dan juara Eropah -- yang diketuai oleh kapten, Sergio Ramos, dan jurulatih, Zinedine Zidane, -- disambut sebagai wira di tengah-tengah lautan peminat Madrid di ibu negara Sepanyol itu.

Dengan gelaran Liga Juara-Juara ketiga dalam tempoh empat musim, setelah menamatkan dominasi Barca buat kali pertama sejak tahun 2012, ia menimbulkan satu sambutan luar biasa di Madrid.

Dan mungkin ada lagi sambutan selepas musim rehat apabila Madrid menentang Manchester United dalam Piala Super UEFA, 8 Ogos ini, sebelum berdepan Barca dalam dua aksi Supercopa de Espana.