PORTUGAL 3 SWITZERLAND 1

Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, melabel Cristiano Ronaldo sebagai "genius" selepas bintang itu mencetak hatrik ketika mengatasi Switzerland, awal pagi tadi.


Jaringan hatrik Ronaldo membawa pasukan tuan rumah saingan Akhir Liga Negara-Negara itu ke perlawanan penentuan hasil kemenangan 3-1 di Porto.

Ia menyaksikan pemain berusia 34 tahun itu kini telah meledak 88 gol di pentas antarabangsa dan hatrik yang ke-53 dalam kariernya, dengan dua jaringan terakhir hadir pada dua minit terakhir permainan.

Santos memuji persembahan Ronaldo, yang menghantar Portugal ke final untuk sama ada berdepan England atau Belanda.

"Saya telah menggunakan banyak perkataan untuk menyifatkan permainan Ronaldo. Saya merupakan jurulatihnya pada 2003 dan mengetahui apa yang bakal dicapai oleh pemain itu," kata Santos.

"Dia seorang genius. Terdapat lukisan dan ukiran genius tetapi dia adalah genius bola sepak," tambahnya.

Sepakan percuma Ronaldo dalam separuh masa pertama dinafikan Ricardo Rodriguez yang menjaringkan sepakan penalti sebelum dia meledak dua lagi gol pada penghujung permainan.

Santos mengakui bintang Juventus itu merupakan pemisah kedua-dua pasukan tetapi memuji persembahan yang dipamerkan Switzerland.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar tetapi kami telah bermain dengan baik untuk memenangi perlawanan ini.

"Mereka bermain secara tersusun dan kerap mengubah formasi. Pemain-pemain mereka mengetahui apa yang perlu dilakukan di atas padang dan kerap menutup ruang ketika kami melakukan serangan."

England dan Belanda bakal merebut tempat ke final awal pagi esok manakala pasukan yang tewas akan bertemu Switzerland untuk penentuan tempat ketiga/keempat.