Cristiano Ronaldo berjanji akan sekali lagi mencipta sejarah bersama Manchester United sebaik kembali ke Old Trafford daripada Juventus.

Bekas bintang Real Madrid itu menandatangani kesepakatan dengan yuran pendahuluan bernilai €15 juta (RM73.64 juta) dengan kontrak dua tahun semalam -- United memiliki pilihan bagi lanjutan tahun ketiga.

Manchester City pada awalnya kelihatan sebagai pasukan pilihan untuk membawa pulang Ronaldo ke Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi Ole Gunnar Solskjaer kemudian memastikan perpindahan bersejarah itu buat United.

Pemain berusia 36 tahun itu memenangi satu daripada lima trofi Anugerah Ballon d'Or miliknya sewaktu bersama The Red Devils, di mana dia menjaringkan 118 gol daripada 292 penampilan dalam era pertamanya di Manchester selain turut memenangi tiga gelaran EPL dan satu kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), yang kemudian diraih sebanyak empat kali lagi sewaktu bersama Madrid.

Perlawanan menentang Newcastle United pada 11 September ini kelihatan akan menamatkan penantian kepulangan yang dinantikannya bersama pasukan itu tetapi Ronaldo sudahpun menggunakan platform Instagram untuk meluahkan keterujaannya.

"Setiap yang mengenali saya tahu tentang kasih sayang yang tidak berpenghujung saya buat Manchester United," tulisnya dalam satu kiriman semalam.

"Tahun-tahun yang saya habiskan bersama kelab ini, di mana ia amat-amat luar biasa, dan landasan yang kami cipta bersama telah tertulis dengan tinta emas dalam sejarah institusi yang hebat dan luar biasa ini.

"Ia seperti impian menjadi kenyataan, selepas sepanjang waktu ini saya pernah kembali untuk menentang United, walaupun sebagai lawan, saya sentiasa menerima rasa kasih dan hormat daripada penyokong di tempat duduk mereka. Ini sememangnya 100 peratus perkara yang diimpikan," katanya.



Musim paling produktif Ronaldo di Manchester hadir dalam musim 2007-08, di mana dia menjaringkan 42 gol daripada 49 perlawanan dalam kesemua kejohanan -- rekod jaringan ketiga tertinggi sepanjang zaman pemain United dalam satu musim, di mana dia membuktikan dirinya sebagai pemain utama bekas pengurus, Alex Ferguson.

Ferguson dikatakan turut terlibat dalam memancing bekas bintang United itu dan Ronaldo turut mengaitkan nama bekas pegurusnya itu.

Ronaldo menambah: "Liga domestik pertama saya, piala pertama saya, panggilan pertama saya bersama skuad kebangsaan Portugis, Kasut Emas pertama dan Ballon d'Or pertama saya, kesemuanya terlahir daripada hubungan istimewa saya dan The Red Devils.

"Sejarah telah tercipta sebelum ini dan sejarah akan dicipta sekali lagi! Anda boleh simpan kata-kata saya!

"PS - Sir Alex, ini untuk anda..."

A post shared by Cristiano Ronaldo (@cristiano)