Pemain tengah Brazil, Casemiro, melihat Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan rakan senegaranya, Neymar, adalah pemain yang hadir dari planet berbeza.

Neymar akan bersama Selecao berdepan Mexico dalam pusingan kalah mati Piala Dunia selepas mempamerkan persembahan kurang menyerlah di peringkat kumpulan di Russia 2018.

Ronaldo dan Messi masih lagi bersaing dalam kejohanan ini, dengan Portugal dan Argentina dijangka bertemu dalam suku akhir jika mereka mengatasi Uruguay dan Perancis dalam pusingan kalah mati.

Neymar membawa harapan Brazil dalam edisi kali ini untuk menghapuskan mimpi buruk empat tahun lalu apabila mereka diaibkan 7-1 oleh Jerman dalam separuh akhir.

Pemain tengah Real Madrid, Casemiro, tidak berada di bawah khayalan mengenai kepentingan Neymar untuk Brazil, yang dikaitkan bakal berhijrah menyertai gergasi LaLiga, Madrid, yang berkemungkinan berganding bahu dengan Ronaldo.

"Mereka merupakan pemain-pemain yang menakjubkan," kata Casemiro.

"Pemain-pemain ini mampu mengubah keputusan perlawanan. Mereka seperti hadir dari planet berbeza.

"Ronaldo, Messi dan Neymar merupakan tiga pemain terbaik dunia dan saya gembira dapat beraksi di samping mereka.

"Neymar telah membuktikan dia mampu mengubah keputusan perlawanan untuk Brazil dan ia menunjukkan dia adalah antara tiga pemain terbaik dunia."