SASSUOLO 1 JUVENTUS 3

Andrea Pirlo melabel Juventus telah membuktikan bahawa mereka mengharungi apa jua keadaan selepas menumbangkan Sassuolo 3-1 untuk terus menyalakan harapan mereka merebut kedudukan empat teratas Serie A.


Cristiano Ronaldo dan Paulo Dybala masing-masing menemui penyudah untuk bintang Portugis itu merakamkan jaringan ke-100 musim ini, sementara Adrien Rabiot turut mencetak gol ketika pasukan bimbingan Pirlo berkenaan pulih daripada kekalahan 0-3 kepada Milan, hujung minggu lalu.

Keputusan itu meletakkan Bianconeri di tangga kelima, satu mata di belakang Napoli yang turut mengintai kelayakan terakhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan dua perlawanan tersisa, tetapi prestasi mereka di Stadium Mapei awal pagi tadi menyuntik keyakinan Pirlo.

"Acap kali kami tidak mempamerkan rentak sebenar, ia tidak memadai ketika menyarung jersi ini," katanya kepada DAZN.

"Sekiranya anda fokus dan mempunyai pemikiran yang tepat, anda boleh menghadapi situasi seperti malam ini.

"Kami masih ada harapan, kami akan mempercayainya hingga akhir musim."





Juventus perlu bersiap sedia untuk bertemu juara Serie A yang baru dinobatkan, Inter, di Stadium Allianz, tengah malam minggu ini, sebelum menghadapi Atalanta dalam final Coppa Italia, kemudian menentang Bologna pada hari terakhir liga.

Pirlo mengakui tekanan semakin memuncak gara-gara persembahan yang tidak tekal, sekali gus meleraikan cengkaman Scudetto mereka selama sembilan tahun.

"Kami bergelut dalam beberapa perlawanan terakhir," katanya ketika mengulas mengenai dua kemenangan dalam lima perlawanan sebelum membenam Sassuolo.

"Itulah yang paling mengganggu saya memandangkan tekanan di Juve adalah berbeza: apabila anda ketinggalan, anda menerima padah.

"Kini kami perlu memulihkan tenaga untuk aksi seterusnya. Kemudian kami akan mengkaji pendekatan untuk menghadapi baki perlawanan."