Manchester United mengesahkan bahawa Cristiano Ronaldo akan memakai jersi nombor 7 bagi musim 2021-22.

Ronaldo, yang memecahkan rekod jaringan terbanyak peringkat antarabangsa milik Ali Daei ketika menjaringkan dua gol Portugal ke atas Republik Ireland semalam, kembali menyertai United daripada Juventus pada penghujung jendela perpindahan lalu.

Bintang penyerang itu, yang turut diberikan pelepasan daripada tugasan antarabangsa selepas perlawanan semalam, pernah memakai nombor ikonik itu dalam tempoh pertamanya di Old Trafford yang berakhir pada 2009.

Dia kemudian memakai jersi nombor 9 dalam musim pertamanya di Real Madrid sebelum kembali menyarung jersi nombor 7 selepas legenda kelab itu, Raul, berpindah menyertai Schalke setahun kemudian.

Sejak itu, Ronaldo hanya memakai jersi nombor 7, baik bersama Juventus mahupun skuad kebangsaan Portugal.

Bagaimanapun, terdapat keraguan sama ada dia dapat kembali menyarung jersi keramat itu di Manchester memandangkan United sudahpun mengumumkan senarai pemain dan nombor masing-masing bagi musim ini.

Sebelum ini, Edinson Cavani merupakan pemilik jersi itu di United dan pemain kebangsaan Uruguay itu juga sudahpun menggunakannya ketika berdepan Wolves dalam perlawanan lalu.

Laporan mendakwa United telah memohon kelonggaran instimewa daripada Premier League bagi mengubah nombor skuad mereka dan Ronaldo diberikan kembali nombor 7 yang sebelum ini sinonim dengan legenda mereka seperti George Best, Eric Cantona dan David Beckham.

Cavani pula akan diberikan nombor 21 yang ditinggalkan Daniel James selepas pemain tengah itu sah menyertai Leeds United.

Sebagai rekod, Cavani memakai nombor 21 itu bersama Uruguay sejak tahun 2010.

A post shared by Manchester United (@manchesterunited)