Cristiano Ronaldo cergas untuk diturunkan menentang SPAL selepas pulih daripada kecederaan dan boleh beraksi bersama Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala, kata pengurus Juventus, Maurizio Sarri.

Ronaldo terlepas kemenangan 2-1 ke atas Brescia akibat kecederaan walaupun tiga hari sebelum itu Juve meraih tiga mata hasil sepakan penalti kapten Portugal itu ketika berdepan Hellas Verona.

Higuain dan Dybala mengetuai barisan depan ketika ketiadaan Ronaldo dan Sarri mungkin cuba mengelak daripada menggugurkan salah satu nama dalam usaha kembali menyenaraikan penjaring terbanyak musim lalu itu ke dalam kesebelasan utama.

Dia tidak melihat sebarang masalah untuk ketiga-tiga pemain itu bergandingan tatkala Juve masih belum menang melebihi satu gol dalam semua kejohanan musim ini.

"Ya, Ronaldo boleh beraksi dan mampu menjadi pembantu buat Higuain dan Dybala," kata Sarri.

"Higuain adalah pemain yang mempunyai kemahiran teknikal, begitu juga dengan Dybala sambil Ronaldo seorang juara.

"Saya rasa mereka boleh bergandingan dan dalam sesetengah situasi, bertindak selaku tiga serangkai di barisan depan."

Adrien Rabiot meraih penampilan pertama dalam kesebelasan utama Juve ketika menundukkan Brescia dan Sarri mendedahkan dia mengharapkan sesuatu yang lebih besar daripada pemain tengah Perancis itu.

Namun, bekas pengendali Chelsea itu menegaskan dia tidak terdesak dengan pemain berusia 24 tahun itu dan mahu bersifat lebih realistik memandangkan dia tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak Disember tahun lalu.

Apabila ditanya adakah dia tidak berpuas hati dengan persembahan Rabiot, dia berkata: "Saya tidak cakap begitu.

"Sudah tentu dia boleh lakukan lebih baik. Dalam 2019, dia tidak pernah beraksi, jadi kami perlu lebih bersabar tanpa sebarang harapan besar.

"Dia mempunyai kualiti hebat, termasuk aspek fizikal. Dia memiliki kekuatan dan secara teknikal, dia kuat. Dia perlukan sokongan untuk memahami bola sepak kami."