TOTTENHAM HOTSPUR 0 MANCHESTER UNITED 3

Cristiano Ronaldo memuji persembahan luar biasa Manchester United ketika pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu menewaskan Tottenham 3-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman lawan itu awal pagi tadi.

Ketika Spurs juga sedang dilanda masalah, United mengurangkan tekanan buat pengurus berbangsa Norway itu dengan keputusan cemerlang di London.

Sepakan voli gemilang daripada Ronaldo meletakkan United di depan pada minit ke-39 sebelum pemain berusia 36 tahun itu melorongkan bola untuk disudahkan Edison Cavani selepas sejam perlawanan dan pemain gantian, Marcus Rashford, pula melengkapkan kemenangan bergaya itu pada lewat permainan.

Ia menjadi kemenangan terbesar United di laman Tottenham sejak Februari 2007, di mana mereka pada ketika itu menang 4-0 di White Hart Lane -- Secara kebetulan, Ronaldo juga merupakan penjaring gol pembukaan dalam perlawanan itu.

Kekalahan 0-5 kepada Liverpool di laman sendiri minggu lalu jelas menjatuhkan semangat pemain United tetapi mereka mempamerkan peningkatan ketara, terutama dengan tiga pertahanan tengah yang dibariskan Solskjaer mempamerkan aksi yang lebih tenang.

Ronaldo berkata kepada Sky Sports: "Kami sedar sebelum perlawanan itu bahawa kami sedang melalui minggu yang sukar. Kami berdepan keputusan yang benar-benar tidak dijangkakan

"Pasukan kami agak tertekan, agak sedih tetapi kami tahu bahawa kami akan memberikan jawapan yang baik dalam perlawanan hari ini. Kami bermain dengan bagus, kami memulakan perlawanan dengan amat baik.

"Tugas saya adalah untuk membantu pasukan ini dengan pengalaman saya, dengan gol, dengan bantuan jaringan dan saya melakukannya hari ini.

"Daripada segi sepasukan, ia merupakan persembahan yang luar biasa pada pandangan saya," katanya.

Sebelum ini, United hanya dapat meraih satu mata daripada empat perlawanan EPL terakhir dan peluang mereka untuk merebut gelaran musim ini kelihatan tipis biarpun baru di peringkat awal saingan.

Cakap-cakap mengenai risiko Solskjaer akan kehilangan jawatannya semakin memuncak, sekali gus menjadikan pertemuan menentang Spurs itu sebagai perlawanan wajib menang buat United.



"Ia amat sukar, kami tidak menjangkakan keputusan seburuk itu dalam perlawanan EPL terakhir tetapi saya harap kami kali ini dapat menyelak ke halaman seterusnya," tambah Ronaldo.

"Ia bukan hanya tanggungjawab jurulatih seperti yang ramai orang katakan -- ia tanggungjawab pemain juga.

"Saya percaya sesuatu yang berlaku itu pasti bersebab dan kami perlu gembira dengan kemenangan hari ini.

"Kami menang 3-0 di stadium lawan ketika menentang pasukan yang sukar dan kami amat lega dan gembira.

"Bukan hanya untuk jurulatih, ia juga untuk kelab, untuk pemain, ia sesuatu yang normal.

"Kelab ini terlalu besar dan kritikan mengenainya sentiasa ada," katanya lagi.