Cristiano Ronaldo dinafikan dua penalti ketika Manchester United merakamkan kemenangan ke atas West Ham, menurut pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer.

Bintang Portugal itu meledak gol yang keempat dalam tiga perlawanan sejak kembali ke Red Devils ketika meraih kemenangan 2-1 di Stadium London.

Jaringan Ronaldo dalam separuh masa pertama menafikan gol pembukaan Said Benrahma kemudian Jesse Lingard -- yang menyerlah ketika dipinjamkan bersama The Hammers bagi musim 2020-21 -- melencong bola untuk meledak gol kemenangan selepas hadir sebagai pemain gantian.

Ronaldo dijatuhkan Vladimir Coufal dan Kurt Zouma dalam separuh masa kedua, dengan pengadil Martin Atkinson tidak melayan keluhan United terhadap kekasaran yang dilakukan, tetapi memberikannya kepada tuan rumah dalam masa kecederaan selepas bola terkena tangan Luke Shaw.

Mark Noble hadir daripada bangku simpanan namun percubaannya berjaya ditepis David de Gea.

Solskjaer tidak mempunyai aduan mengenai sepakan penalti yang diberikan terhadap Shaw tetapi berasakan Ronaldo berhak menerima dua sepakan penalti.

"Terdapat dua terjahan pertahanan lawan terhadap Ronaldo seharusnya diberikan penalti, namun saya tidak akan membincangkan hal itu terlalu panjang," katanya.

"Paul [Pogba] diberikan faul selepas dilihat menjatuhkan Kurt Zouma namun tidak menyentuh pemain tersebut. Jadi pengadil enggan melayan selepas Cristiano dijatuhkan buat kali ketiga?"