Cristiano Ronaldo memberi bayangan dia akan meninggalkan Real Madrid selepas memenangi Liga Juara-Juara (UCL) buat kali kelima dalam kariernya.

Penyerang utama itu terpaksa memberi laluan kepada Gareth Bale sebagai tajuk utama berita di Kiev awal pagi tadi ketika rakan sepasukannya itu menggegar gawang sebanyak dua kali selepas tampil dari dari bangku simpanan untuk memimpin Los Blancos merakamkan kemenangan 3-1 ke atas Liverpool.

Karim Benzema meraih keuntungan hasil satu daripada dua kesilapan penjaga gol, Loris Karius, untuk membantu barisan Zinedine Zidane itu menjulang trofi Eropah buat kali ketiga berturut-turut.

Bagaimanapun, tidak pernah lekang daripada perhatian, Ronaldo membuat kenyataan memeranjatkan ketika diwawancara stesen televisyen apabila mendedahkan bahawa dia tidak yakin akan kekal di Madrid.

"Kami akan berbincang pada masa depan. Ia benar-benar perkara indah untuk bermain bersama Real Madrid, saya akan memberi respons sedikit masa lagi," kata Ronaldo.

"Saya menikmati detik ini dengan rakan sepasukan. Perkara paling penting, kami melakar sejarah. Saya ingin berterima kasih kepada semua peminat," ujarnya.

Apabila diminta mengulas lanjut mengenai komennya itu, bekas pemain Manchester United tersebut menjelaskan dia hanya mahu menikmati kejayaan terbarunya itu dan akan memberikan makklumat lebih terperinci dalam masa terdekat.

"Tidak, tidak. (Ssaya mahu) menikmati masa ini bersama rakan-rakan saya," tambah pemain berumur 33 tahun itu.

"Dalam beberapa hari akan datang, saya akan memberikan jawapan."