Cristiano Ronaldo kekal sebagai atlet yang menerima bayaran paling tinggi dalam senarai Forbes apabila menjana sebanyak USD93 juta setakat 1 Jun lalu.

Bintang Real Madrid itu -- yang merangkul trofi Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut di Cardiff, Ahad lalu -- menjana USD58j menerusi gaji dan kemenangan manakala USD35j lagi menerusi pengiklanan untuk meletakkan dia di puncak senarai itu.

Ikon bola keranjang, LeBron James, merupakan pencabar terdekat Ronaldo apabila meraih USD86.2j, pemain Cleveland Cavaliers itu meraih USD20j melebihi perolehan pengiklanan bintang Portugal itu.

Seteru ketat Ronaldo, Lionel Messi, pula di tangga ketiga. Namun, penggempur Barcelona itu -- yang tergelincir dari tangga kedua -- menyaksikan perolehannya kurang USD13j dalam tempoh 12 bulan untuk memungut USD80j.

Jurang perolehan tangga keempat pula agak besar menerusi Roger Federer -- sebanyak USD58j daripadanya adalah menerusi pengiklanan.

Selain James, bintang bola keranjang seperti Kevin Durant, Stephen Curry dan James Harden turut dalam kalangan 10 penerima imbuhan paling besar manakala Rory McIlroy memecah kelompok itu buat julung kalinya.

Tiger Woods, yang pernah berada di tangga teratas pada 2013 masih dalam lingkungan 20 penerima tertinggi untuk berada di depan Neymar, yang hanya bergaji USD104,000 dalam tempoh 12 bulan lalu tetapi menjana pendapatan menerusi pengiklanan, iaitu sebanyak USD37j untuk berada di tangga ke-17.

Sementara itu, Serena Williams muncul atlet wanita tunggal yang meraih pendapatan sebanyak USD27j, jumlah itu meletakkan dia berada di luar kelompok 50 atlet yang meraih pendapatan tinggi dunia.


Senarai 10 atlet penerima bayaran tertinggi dunia

1. Cristiano Ronaldo - USD93j
2. LeBron James - USD86.2j
3. Lionel Messi - USD80j
4. Roger Federer - USD62j
5. Kevin Durant - USD60.6j
6. Andrew Luck - USD50j
6. Rory McIlroy - USD50j
8. Stephen Curry - USD47.3j
9. James Harden USD46.6j
10. Lewis Hamilton - USD46j