PORTUGAL 2 MESIR 1

Jurulatih Portugal, Fernando Santos, memuji Cristiano Ronaldo dan keazaman anak buahnya susulan kemenangan dramatik ke atas Mesir, awal pagi tadi.


Ronaldo menyumbat dua kali dalam masa tambahan selepas Mohamed Salah terlebih dahulu meletakan Mesir di depan pada awal babak kedua untuk juara Eropah itu menang 2-1 di Zurich.

Ronaldo melanjutkan rekod jaringan antarabangsanya kepada 81 -- pencapaiannya hanya dipisahkan oleh Ali Daei (109 gol untuk Iran) dan Ferenc Puskas (84 gol untuk Hungary dan Sepanyol) sebagai penjaring terbanyak negara.

Santos tidak terkejut dengan sumbangan bintang Real Madrid itu dengan memberitahu RTP: "Inilah Ronaldo, Ronaldo adalah gol, dia merupakan gol."

Mengenai prestasi pasukannya, Santos tidak berpuas hati biarpun dia memuji sikap mereka.

"Kami lebih baik pada babak pertama tetapi dengan beberapa asas kurang tepat dalam aspek serangan," katanya.

"Kami tidak dapat mencipta peluang yang hebat tetapi dengan corak seperti itu, kami mampu mencetak gol.

"Saya cuba membetulkannya pada babak kedua, namun banyak perkara tidak berlangsung seperti diharapkan. Permainan kami bertambah kucar-kacir dan kami melepaskan gol kerana kami kurang agresif.

"Penggantian pemain menjejaskan rentak yang menjadi punca kami dibolosi. Permainan kami berterabur.

"Terima kasih kepada pemain, mereka bangkit dan kebahagiaan datang kepada mereka yang mencarinya, terima kasih kepada keazaman pasukan yang tidak pernah menyerah, selalu menang."

Portugal akan menghadapi Belanda dalam perlawanan persahabatan mereka yang akan datang.