Pemain yang menjadi sasaran Barcelona, Memphis Depay, turut menarik minat AS Roma, kata Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas.

Kapten Lyon, Depay, sedang berada dalam tahun terakhir kontraknya bersama kelab Ligue 1 itu dan sedang hangat dikaitkan untuk menyertai Barca.

Bekas penyerang Manchester United itu sebelum ini pernah beraksi dibawah kendalian jurulatih baru Barca, Ronald Koeman, sewaktu dalam skuad kebangsaan Belanda.

Tetapi Aulas memberikan amaran buat Barca bahawa kesepakatan itu masih belum sempurna dan Roma mampu bertindak sebagai pesaing untuk mendapatkan pemain itu.

Dia berkata kepada Telefoot: "Kontrak Memphis sudah hampir tamat. Koeman mahukannya di Barcelona tetapi Roma juga berminat dengan pemain itu."

Depay kembali daripada kecederaan lutut serius dengan membantu Lyon mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah selain menjaringkan sembilan gol daripada 13 penampilan Ligue 1 musim lalu.

Minggu lalu, dia menjaringkan hatrik ketika membantu Lyon menewaskan Dijon 4-1 dalam perlawanan pembukaan Ligue 1 musim ini.

Pemain berusia 26 tahun itu menyertai Lyon daripada United dengan nilai perpindahan €16 juta (RM78.5 juta) dan kini dilaporkan hanya boleh dilepaskan dengan tanda harga €25 juta (RM122.7 juta).