Eusebio Di Francesco dilucutkan jawatan ketua jurulatih AS Roma selepas pasukan itu disingkirkan Porto dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, semalam.

Di Francesco, yang juga bekas pemain Roma, kembali menyertai kelab itu pada 2017 dan menamatkan musim pertamanya selaku jurulatih dengan cemerlang.

Dia berjaya membantu pasukan itu menduduki tangga ketiga Seri A dalam musim 2017-18 selain membawa Roma ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah sebelum disingkirkan Liverpool dengan agregat 7-6.

Bagaimanapun, rekodnya musim ini tidak begitu memberangsangkan, dengan Roma kini di tangga kelima liga dengan perbezaan 28 mata di belakang pendahulu, Juventus.

Kekalahan 1-3 kepada Porto dalam masa tambahan itu juga menyaksikan kempen mereka di peringkat Eropah musim ini sudah berakhir.

Penyokong Roma dikatakan berang terhadap pendekatan pegawai pasukan itu -- termasuk pengarah sukan mereka, Monchi -- ekoran kekalahan di Portugal itu dan mereka berasakan ia waktu yang sesuai untuk melepaskan Di Francesco daripada jawatannya akibat daripada penyingkiran tersebut.

Presiden Roma, Jim Pallota, berterima kasih kepada Di Francesco di atas usahanya sekalu jurulatih selama ini dengan berkata dalam laman web pasukan: "Daripada pihak diri saya dan seluruh warga AS Roma, saya mahu berterima kasih kepada Eusebio di atas usaha dan komitmennya.

"Sejak kembali ke kelab ini, Eusebio sentiasa berlaku profesional dan meletakkan kelab ini sebagai keutamaannya.

"Kami mendoakan yang terbaik untuk masa depannya."

Di bawah kendalian Di Francesco, Roma mencipta sensasi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Mereka bangkit daripada kekalahan 1-4 di tangan Barcelona dalam perlawanan pertama untuk layak ke separuh akhir dengan kemenangan 3-0 di Itali.

Mereka hampir melakukan perkara sama dalam aksi separuh akhir selepas dibelasah Liverpool 5-2 dalam perlawanan pertama.

Dua gol lewat permainan daripada Radja Nainggolan membantu mereka mengheret perlawanan ke masa tambahan dalam perlawanan kedua, namun ia masih kekal sebagai penantian yang lama buat penyokong Roma sejak memenangi kejuaraan Eropah pada 1984.