AS Roma mengeluarkan permohonan maaf kepada pemain Sampdoria, Ronaldo Vieira, selepas pemain tengah itu berdepan serangan perkauman dalam perlawanan Serie A semalam.

Bekas pemain remaja Leeds United itu, yang beraksi sepanjang perlawanan, berdepan ejekan perkauman dari tempat duduk penyokong pelawat di Stadium Luigi Ferraris -- perlawanan pertama Claudio Ranieri sebagai pengurus Sampdoria itu berakhir tanpa jaringan.

"Saya mendengarinya tetapi saya tidak mahu bercakap mengenainya," kata bekas pemain remaja England itu kepada Rai Sport selepas perlawanan.

Roma dalam respons segeranya membuat permohonan maaf kepada pemain berusia 21 itu menerusi satu ciapan Twitter sambil berjanji akan menggantung setiap penyokong mereka yang didapati melakukan serangan perkauman.

"Roma ingin memohon maaf kepada Ronaldo Vieira di atas ejekan perkauman yang dihadapinya.

"Roma tidak akan bertolak-ansur dengan apa jua bentuk tindakan perkauman dan kelab ini akan membantu pihak berkuasa untuk mengenal pasti dan mengharamkan mana-mana individu yang didapati bersalah kerana melakukan tindakan perkauman terhadap pemain tengah itu."

Sampdoria menjawab dengan satu ciapan: "Kami bersatu untuk mengatakan tidak kepada isu perkauman."