Daniele De Rossi meraikan kejayaan dramatik AS Roma ke atas Barcelona dalam suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah tetapi menyifatkan pasukannya belum berpuas hati dengan kemenangan itu.

Skuad Giallorossi itu memadamkan defisit 4-1 daripada suku akhir pertama apabila Edin Dzeko, De Rossi dan Kostas Manolas menjaringkan gol di Stadium Olimpico.

Sambil menyifatkan kemenangan itu antara yang terbaik dalam kariernya, dia mahu seluruh kem Roma percaya bahawa mereka mampu pergi jauh dan terus mengejutkan pasukan lain dalam separuh akhir nanti.

"Untuk pasukan seperti Roma, ia sangat hebat," kata De Rossi.

"Kini, kami telah mengambil satu lagi langkah dan tidak cepat berpuas hati apabila mara ke separuh akhir. Kami tidak mempercayainya.

"Tentunya ini adalah detik terbaik di dalam karier saya. Apabila saya melihat penyokong-penyokong, saya memberitahu rakan sepasukan: jika mereka percaya, kita juga perlu sama."

De Rossi memandang kekalahan di Camp Nou minggu lalu sebagai sesuatu yang positif dan berasakan bahawa skuad kendalian Ernesto Valverde itu bukan lagi skuad yang kebal seperti sebelum ini.

"Kami tahu ia akan sukar tetapi kami harus percaya. Aksi pertama membuktikan Barca mempunyai kualiti tinggi tetapi tidak sehebat dulu.

"Kami menjaringkan dua gol sendiri dan kami percaya perbezaannya bukan 4-1 seperti keputusan sebenar," katanya lagi.