Roma mengesahkan pelantikan Monchi sebagai pengarah sukan baru mereka.

Bekas pemain berbangsa Sepanyol itu - yang berkhidmat sejak dua dekad lalu bersama skuad LaLiga, Sevilla -- telah menandatangani kontrak selama empat tahun, dengan pilihan untuk tahun kelima.

Monchi akan mula bekerja di skuad ibu negara Itali itu berkuat kuasa serta-merta, selepas lama dikaitkan dengan kelab Serie A itu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Roma, Jim Pallotta, dan pasukan eksekutif kelab kerana memberi saya peluang ini," kata bekas penjaga gol berusia 48 tahun itu kepada laman web rasmi Roma.

"Ini adalah satu projek yang menarik dan saya tidak sabar berkhidmat kepada penyokong, kakitangan dan pemain di kelab ikon ini untuk beberapa tahun akan datang."

Monchi menghabiskan kerjaya sebagai pemain Sevilla dan menjadi pengarah sukan sejurus selepas dilantik menjadi kakitangan pengurusan kelab itu pada 2000.

Semasa tempoh terkenalnya menguruskan perpindahan pemain, Sevilla memenangi lima Liga Europa termasuk tiga berturut-turut dari 2014 hingga 2016, dua Copa del Rey, Supercopa de Espana dan Piala Super UEFA .

Dia juga memainkan peranan penting untuk membawa masuk ketua jurulatih semasa, Jorge Sampaoli, yang telah dikaitkan dengan jawatan kosong dalam pasukan kebangsaan Argentina selepas Monchi mengumumkan akan meninggalkan Sevilla pada akhir bulan lalu.

"Saya gembira dengan pelantikan ini apabila Monchi secara meluas dianggap sebagai salah seorang yang mempunyai minda terbaik dalam dunia bola sepak," kata Pallotta.