RB SALZBURG 2 MARSEILLE 1
(Marseille menang agregat 3-2)

Marseille menempah slot final Liga Europa selepas menafikan kebangkitan Red Bull Salzburg, dengan jaringan Rolando dalam masa tambahan membenarkan mereka meraih kemenangan 3-2 secara agregat.


Kelab Perancis itu mendahului saingan selepas meraih kemenangan 2-0 dalam aksi pertama tetapi persembahan hambar daripada skuad kendalian Rudi Garcia itu membuka ruang buat Salzburg untuk bangkit mengikat kedudukan agregat selepas meraih kemenangan 2-0 dalam tempoh 90 minit di Red Bull Arena, awal pagi tadi.

Larian solo Amadou Haidara sebelum menyumbat masuk gol mencetus kebangkitan skuad kendalian Marco Rose itu sebelum percubaan Bouna Sarr menembusi gawang Marseille buat kali kedua.

Bagaimanapun, Marseille meledak gol kemenangan ketika perlawanan berbaki empat minit -- pemain gantian, Rolando, tenang menyempurnakan hantaran Dimitri Payet daripada sepakan sudut.

Kemenangan ini sekali gus menyaksikan Marseille bakal beraksi dalam final di Lyon berdepan Atletico Madrid pada 16 Mei ini.