Rojo bawa khabar gembira buat United

Penulis Jemputan
Ogos 23, 2017 00:08 MYT
Pertahanan Manchester United, Marcos Rojo, kembali menjalani latihan selepas berehat selama empat bulan kerana mengalami kecederaan lutut dalam aksi suku akhir Liga Europa (UEL) bertemu Anderlecht musim lalu.
Rojo menyertai sesi latihan United semalam bersama Luke Shaw dan Ashley Young, yang juga dalam proses pemulihan daripada kecederaan masing-masing.
Pengurus United, Jose Mourinho, menyatakan bulan lalu bahawa pemain kebangsaan Argentina itu "tidak memiliki peluang sehingga Disember", tetapi dilihat mungkin kembali lebih awal daripada waktu yang telah dijangkakan.
Skuad bimbingan Mourinho kini mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas memenangi dua perlawanan pembukaan ke atas West Ham dan Swansea City dengan keputusan 4-0.
Pemulihan Shaw, Young dan Rojo akan menambah pilihan untuk Mourinho mengisi kekosongan di bahagian pertahanan kiri.