Bekas pemain kebangsaan Brazil, Ze Roberto, percaya Rodrygo Goes, memiliki kebolehan untuk mengikut jejak langkah Vinicius Junior di Real Madrid.

Rodrygo telah dipersembahkan sebagai pemain Los Blancos di Santiago Bernabeu semalam, setahun selepas kelab itu membayar EURO45 juta (RM210 juta) kepada Santos untuk memilikinya.

Vinicius menyertai gergasi LaLiga itu pada permulaan musim 2018-19, menjadi sebahagian daripada skuad utama sehinggalah kecederaan buku lali yang dialami pada Mac lalu.

Ze Roberto -- yang pernah beraksi bersama Real pada 1997 -- percaya Rodrygo telah mula menampilkan kebolehannya untuk berjaya di Sepanyol dan mampu mengikut jejak langkah Vinicius.

"Vinicius memulakan karier dengan cemerlang dalam bola sepak Eropah," katanya.

"Dia memiliki banyak personaliti dan saya mempercayai apabila dia meraih lebih banyak pengalaman, dia mampu menjadi salah seorang bintang di benua ini.

"Rodrygo memiliki segala-galanya untuk cemerlang pada masa akan datang. Dia turut berada dalam skuad utama Santos."

Apabila ditanya sama ada gandingan itu mampu bergelar pemain terbaik dunia, Ze Roberto berkata, "Sukar untuk menjangkakan perkara yang bakal berlaku. Lebih baik kita tunggu dan lihat."