James Rodriguez berkata Sven Ulreich tidak patut dipersalahkan untuk kekalahan Bayern Munich di tangan Real Madrid dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah berikutan kesilapan besarnya.

Bayern terikat 2-2 dalam aksi timbal balik di Santiago Bernabeu awal pagi tadi untuk tewas secara agregat 4-3 berdepan juara bertahan itu -- keputusan yang menonjolkan kesilapan penjaga gol, Ulreich.

Ulreich menghadiahkan peluang mudah kepada Karim Benzema -- yang memadam jaringan awal Joshua Kimmich dalam masa lapan minit -- untuk gol keduanya apabila penjaga gol itu melakukan kesilapan ketika menangkap bola hantaran ke belakang daripada Corentin Tolisso hanya 21 saat selepas memulakan separuh masa kedua.

Rodriguez -- dalam perjanjian pinjaman dua tahun dari Madrid -- menyamakan kedudukan selepas sejam perlawanan tetapi Bayern gagal mengatasi gergasi Sepanyol it, dan pemain antarabangsa Colombia itu tidak mahu menuding jari ke arah Ulreich.

"Kami tidak perlu menyalahkan penjaga gol, dia kerap menyelamatkan kami. Kami telah membuat kesilapan besar dalam perlawanan pertama dan juga di sini," kata James menerusi AS.

"Saya fikir kami mempunyai perlawanan yang baik. Jika Madrid melangkah ia kerana mereka melakukan perkara baik. Kami perlu tenang dan berfikir tentang final Piala Jerman."

Bayern banyak menguasai perlawanan di ibu kota Sepanyol itu, bagaimanapun, pelawat gagal menterjemahkan dominasi mereka kepada jaringan.

Ia menandakan penyingkiran separuh akhir keempat dalam lima musim buat Bayern setelah menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2013.

Penyerang Bayern, Thomas Muller, memberitahu Zdf: "Kami bermain lebih baik berbanding di Munich tetapi kami memberi mereka gol lagi. Dan kamu tidak boleh melakukannya dalam dua perlawanan.

"Ia adalah permainan gila dan kami meletakkan segala usaha tetapi pada akhirnya kami agak malang. Penjaga gol mereka (Keylor) Navas memiliki permainan yang hebat.

"Berani dan malang saling berkait. Ini sangat menyakitkan tetapi kami tidak perlu malu."

Muller menambah: "Kami mempunyai peluang besar untuk mara tetapi kami terlepas lagi.

"Kami mempunyai kualiti sangat baik dalam skuad kami tetapi kami perlu bertanya kepada diri sendiri mengapa kami banyak terlepas, mengapa kami terus melakukan kesilapan ini dalam separuh akhir."