Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Fernando Rodriguez, akan bertindak selaku lawan buat bekas majikannya, Kedah Darul Aman FC (KDA), dalam perebutan Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim malam esok.

Ia selepas ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, mengesahkan bahawa pemain Sepanyol itu antara pilihan untuk membarisi kesebelasan utama mereka dalam misi menjulang trofi berkenaan buat kali keempat berturut-turut.

Penggempur JDT II itu akan diserapkan ke skuad utama memandangkan seorang lagi penyerang import, Bergson Da Silva, baru sahaja tiba di Johor Bahru dan memerlukan waktu rehat.

"Fernando pernah menjadi pemain terbaik dalam Liga Super dan dia juga telah menjadi pemain terbaik di JDT II tahun lalu," kata Mora.

"Kami pernah menurunkannya dalam satu perlawanan tahun lalu di mana dia menjaringkan satu gol dan melakukan tugasnya dengan baik.

"Jadi esok akan menjadi satu hari di mana kami boleh mengharapkannya.

"Tetapi kami juga mempunyai penyerang lain. Hazwan Bakri amat-amat tajam. Syafiq Ahmad juga sudah kembali bersama kami dan dia berlatih dengan amat baik, jadi kami gembira dengan kepulangannya," katanya.