James Rodriguez berkata Real Madrid mempunyai lima aksi final dalam baki jadual LaLiga ketika juara Eropah itu cuba memintas musuh ketat, Barcelona, dalam pemburuan merebut gelaran.

Penyerang Colombia, Rodriguez, menjaringkan dua gol Real untuk membantu menewaskan Deportivo La Coruna 6-2, awal pagi tadi.

Bermain tanpa Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale, Rodriguez -- yang menjaringkan gol ketika tewas 3-2 dalam aksi El Clasico hujung minggu lalu -- meledak pada setiap babak untuk membantu Real kekal menyamai Barca.

Barca dan Real terikat 78 mata di puncak liga meskipun Real berbaki lebih satu perlawanan bagi merebut trofi LaLiga pertama sejak 2012.

"Saya rasa gembira dan benar-benar berpuas hati," kata Rodriguez. "Kami bermain dengan baik, dengan intensiti yang tinggi dan keinginan. Apa yang kami lakukan adalah positif.

"Kami mempunyai lima perlawanan akhir dalam LaLiga, yang kami perlu bermain bersungguh-sungguh, dan kami juga perlu fikir tentang Liga Juara-Juara.

"Tidak kira siapa yang bermain, pasukan sentiasa bermain dengan baik. Apabila kami mempunyai peluang, kami perlu melakukannya dengan baik seperti ini."

Rodriguez mendapati sukar untuk bermain dalam kesebelasan utama di bawah ketua jurulatih, Zinedine Zidane.

Situasi pemain berusia 25 tahun itu dilaporkan mendapat perhatian daripada kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Chelsea.

Kekecewaan Rodriguez, bagaimanapun, tidak memberi kesan kepada persembahannya selepas dia, Lucas Vazquez, Isco dan Alvaro Morata membantu Real untuk menang dalam aksi pertengahan minggu ini.

"Mungkin kerana kami bermain sedikit dan apabila kami mempunyai sedikit peluang, kami boleh melakukan perkara yang baik," katanya.

"Kedua-dua pasukan (pemain kesebelasan utama dan gantian) sentiasa bermain dengan baik."

Real kembali beraksi di Santiago Bernabeu pada Sabtu ini untuk bertemu Valencia.