James Rodriguez berharap dapat menjadi susuk penting buat Real Madrid musim ini selepas kekal bersama gergasi LaLiga berkenaan.

Atletico Madrid dan Napoli kerap dikaitkan dengan pengatur serangan itu yang dijangka meninggalkan Madrid pada musim panas lalu.

Begitupun, James kekal dan membuat permulaan bersama Los Blancos buat kali pertama sejak Mei 2017 ketika seri 1-1 dengan Real Valladolid, 24 Ogos lalu.

Selepas dua tahun dipinjamkan ke Bayern Munich selain dibayangi spekulasi, ketua pasukan Colombia itu bertekad memberikan impak di ibu kota Sepanyol itu.

"Saya sangat berharap kali ini menjadi musim (terbaik) saya bersama Real Madrid," katanya kepada El Chiringuito.

James baru pulih daripada kecederaan betis ketika memperkuatkan Madrid sebelum rehat antarabangsa.

Kecederaan itu meminggirkannya daripada aksi persahabatan dengan Brazil dan Venezuela.

Pengurus kelab, Zinedine Zidane, hanya memenangi satu daripada tiga perlawanan pembukaan mereka berikutan rentetan dua keputusan seri untuk berada empat mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid.

Mereka akan kembali menyambung aksi apabila menyambut rombongan Levante di Santiago Bernabeu, Sabtu ini.