Pemain pertahanan Wolfsburg, Ricardo Rodriguez, tiba di Itali bagi melengkapkan perpindahannya ke AC Milan.

Laporan di Jerman melaporkan pasukan itu sudah mencapai kesepakatan dengan nilai perpindahan EUR18 juta dan boleh meningkat kepada EUR22 juta berdasarkan bonus.

Bek kiri itu dijangka akan menjalani ujian kesihatan, esok, sebelum menyempurnakan perpindahan ke San Siro.

"Saya gembira berada di sini," kata Rodriguez sejurus tiba di Lapangan Terbang Malpensa.

"Saya belum bertemu dengan ketua jurulatih, Vincenzo Montella, lagi.

"Forza Milan."

Pemain pertahanan itu digilap daripada akademi remaja Zurich sebelum menyertai Wolfsburg pada 2012, di mana dia menjadi nadi utama pasukan itu yang muncul naib juara pada 2015, namun berdepan penyingkiran sebelum terselamat menerusi play-off musim lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu akan menjadi pemain ketiga direkrut Milan bagi menghadapi cabaran musim baru selepas mendapatkan Mateo Musacchio dan Franck Kessie.