Rasa hormat James Rodriguez kepada Real Madrid bermakna dia tidak akan meraikan jika menjaringkan gol untuk Bayern Munich dalam perlawanan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Pemain antarabangsa Colombia itu menikmati musim pertamanya dalam tempoh pinjaman dua tahun bersama juara Bundesliga itu, yang memilih untuk membelinya secara tetap.

Dia kelihatan tidak mungkin kembali ke Madrid selepas gagal mendapat perhatian di bawah Zinedine Zidane walaupun pemain berusia 26 tahun itu menegaskan dia tidak mempunyai masalah dengan jurulatih berkenaan.

Sebaliknya, perancangannya adalah fokus untuk membantu Bayern mengatasi defisit 2-1 daripada perlawanan pertama apabila kedua-dua pasukan bertemu di Santiago Bernabeu, awal pagi esok.

"Saya dilayan dengan baik di sini. Ia adalah tiga tahun yang unik apabila saya memenangi banyak gelaran," kata James dalam sidang media sebelum perlawanan. "Ia juga ada kaitan dengan rasa hormat kepada kelab dan penonton.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan Zidane. Saya hanya mahu selalu bermain. Tiada apa-apa masalah dengan Zidane atau kelab itu.

"Saya sangat gembira (di Bayern) dan hanya memikirkan perlawanan ini dan bermain dalam Piala Dunia. Maka, kita akan lihat apa yang akan berlaku."

Walaupun tumpuan akan diberikan kepada James, tekanan juga terarah kepada Robert Lewandowski selepas dia gagal meledak gol dalam aksi pertama.

Spekulasi tentang masa depannya di kelab itu juga semakin kuat diperkatakan tetapi Thomas Muller percaya kritikan terhadap rakan sepasukannya itu tidak wajar.

"Lewandowski belum menjaringkan gol dalam beberapa minggu terakhir tetapi dia sudah meledak 28 gol dalam Bundesliga musim ini. Kualitinya tidak dapat dipertikaikan," kata Muller.

"Real mempunyai penjaring hebat (Cristiano Ronaldo) yang tidak dapat menyudahkan gol dalam perlawanan pertama tetapi mereka menang 2-1, jadi ia tidak dibincangkan."