James Rodriguez tidak dapat menahan emosinya selepas impian Colombia dalam Piala Dunia Russia dileburkan England menerusi penentuan penalti dramatik.

Ketua pasukan Colombia itu, yang dibelenggu kecederaan dalam pusingan 16, dikeluarkan dalam perlawanan terakhir membabitkan aksi La Tricolor menentang Senegal akibat kecederaan betis.

Rodriguez, 26, dihantui masalah itu sejak awal kejohanan lagi tetapi gagal melepasi ujian kecergasan lalu dan terpaksa menonton perlawanan dari tempat duduk penyokong.

Bintang Bayern Munich itu kelihatan cemas ketika Harry Kane meletakkan England di depan pada minit ke-57 minit sebelum bergembira meraikan jaringan ketiga Yerry Mina dalam kempen di Russia untuk melanjutkan permainan ke masa tambahan.

Kegagalan Jordan Henderson dalam penentuan sepakan penalti seakan-akan membuka peluang buat Colombia, namun Mateus Uribe dan Carlos Bacca gagal menyudahkan kesempatan yang ada sebelum jaringan Eric Dier membawa England ke peringkat suku akhir.

Rodriguez bersedih sejurus wisel penamat ditiupkan. Dia duduk bersendirian di bangku simpanan dan kemudian menggunakan media sosial untuk menyiarkan gambarnya sedang menangis.

Ia merupakan penyingkiran kedua berturut-turut Colombia dalam kempen Piala Dunia selepas mereka diketepikan Brazil empat tahun lalu.