Rodri menyifatkan gaya permainan Scotland seperti "sampah" ketika Sepanyol tewas 0-2 dalam pusingan kelayakan Euro 2024 di Hampden Park awal pagi tadi sambil mendakwa pasukan bimbiongan Steve Clarke itu terlalu banyak membazirkan masa.

Scott McTominay menjaringkan gol awal dalam setiap separuh masa bagi mengekalkan permulaan sempurna Scotland dalam saingan Kumpulan A.

Sepanyol pula berdepan kekalahan pertama di bawah bimbingan Luis de la Fuente sejak ketua jurulatih itu mengambil alih tempat Luis Enrique hujung tahun lalu.

Keputusan itu menyaksikan Sepanyol tewas buat kali pertama dalam pusingan kelayakan Kejohanan Eropah sejak Oktober 2014 (tewas 1-2 kepada Slovakia) dan ia juga kali pertama La Roja kalah dengan lebih dari satu gol sejak Euro 2016 (tewas 0-2 kepada Itali).

Bagaimanapun, kapten Sepanyol, Rodri, langsung tidak tertarik dengan mutu persembahan Scotland dan dia berkata kepada ViaPlay: "Ia tentang cara permainan mereka dan pada akhirnya, anda perlu menghormati mereka tetapi saya fikir ia agak sampah.

"Mereka sentiasa membazirkan masa, melakukan provokasi kepada anda, mereka sentiasa merebahkan badan.

"Bagi saya, ia bukan bola sepak. Pengadil tidak berkata apa-apa dan ia agak mengecewakan kerana kami mahu menang.

"Ia sukar kerana banyak masa dibazirkan tetapi itulah senjata mereka dan kami akan mempelajarinya untuk perlawanan yang akan datang.

"Kami mahu bersaing dan berjuang. Kami sentiasa bersaing tetapi ini bukan soal bersaing, ini soal membazirkan masa, lebih kurang empat atau lima pemain merebahkan badan ke tanah, ia situasi seperti itu.

"Pasukan kami sentiasa kuat tetapi kami perlu menggunakan senjata kami. Kami bagus dalam mengawal bola dan perlu menggerakkan bola dengan cepat.

"Hari ini, kami melakukan banyak perkara dengan bagus tetapi kami tidak menjaringkan gol," katanya.