Pemain tengah Kedah, Rodney Calvin terpaksa dikeluarkan daripada perancangan Aidil Sharin Sahak selepas mengalami kecederaan bahu Sabtu lalu dan kecederaan itu menjurus kepada keperluan untuk melakukan pembedahan kecil dalam masa terdekat.

Dalam perkiraan minimum, Rodney memerlukan tiga minggu tempoh berehat.

Tetapi ia bergantung kepada kekuatan dan ketahanan pemain itu, untuk sembuh sepenuhnya.

"Rodney mengalami kecederaan bahu dan memerlukan pembedahan. Berdasarkan penilaian doktor, dia perlu berehat panjang dan selepas selesai proses pembedahan, baru kami mendapatkan tempoh rehat yang sepenuhnya," kata Aidil Sharin.

Sudah pasti perkara itu mengganggu perancangan Aidil Sharin yang mengharapkan kutipan mata penuh dalam bagi mengejar kedudukan dua terbaik.

Bagaimanapun, Aidil sudah memiliki beberapa nama seperti Luqman Hakim untuk menggantikan kedudukan Rodney menjelang aksi dengan PJ City.

Aidil menyedari impak mungkin tidak sama seperti yang ditampilkan Rodney namun itu pilihan terbaik yang dimilikinya setakat ini.

"Kami akan melihat prestasi pemain lain dalam sesi latihan dan menilai sebaik mungkin untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rodney. Semestinya kualiti yang berbeza akan ditampilkan oleh setiap pemain."