LIVERPOOL 0 CHELSEA 1

Pertahanan Liverpool, Andy Robertson, berkata The Reds "tidak boleh sekadar bersandarkan kenangan lalu" selepas semakin hanyut dalam usaha mengekalkan mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).


Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu terpalit dengan sejarah hitam apabila menempa kekalahan kelima berturut-turut sejurus tumbang 0-1 kepada Chelsea di Anfield, awal pagi tadi, menerusi jaringan tunggal Mason Mount pada minit ke-42.





The Reds gagal mencipta sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan liga terakhir di Anfield yang menyaksikan tuan rumah mengutip 10 mata daripada 11 perlawanan EPL sepanjang tahun ini -- cuma lebih baik daripada West Brom (sembilan), Newcastle United (tujuh) dan Southampton (empat).

Liverpool mengatasi banyak rekod sepanjang laluan untuk bergelar juara musim lalu termasuk melakar 18 rentetan kemenangan dan 24 kemenangan berturut-turut, namun Robertson mengakui pasukannya ketika ini terlalu jauh untuk mengulangi tahap sedemikian selain banyak kepincangan yang perlu diatasi.

"Musim lalu sudah berakhir, sudah selesai," katanya kepada Sky Sports dengan Liverpool terperosok di tangga ketujuh dan empat mata dipisahkan dengan kelompok empat pasukan teratas dalam perebutan slot kelayakan Liga Juara-Juara (UCL).




"Kami tidak cukup bagus seperti yang harus dilakukan oleh sebuah pasukan Liverpool. Kami semakin tenggelam dan dan tidak cukup bagus.

"Perlawanan sudah tamat dan kami perlu memberi tekanan kepada pasukan di bawah kami. Orang akan menganggap kami semakin tercicir dan terkeluar (daripada saingan) jadi kami perlu membuktikannya. Pada masa ini, kami gagal menjelmakannya.

"Kami tidak boleh sekadar sandarkan kepada kenangan."

Sementara itu, kemenangan itu melonjakkan Chelsea ke carta empat pasukan teratas dan melanjutkan rekod tanpa kalah kepada 11 perlawanan -- 10 aksi di bawah pengurus baru, Thomas Tuchel.