Andy Robertson telah mengakui dia mungkin mempertimbangkan kemungkinan perpindahan ke Celtic sebelum menamatkan kariernya.

Kapten Scotland itu adalah antara bek sayap terbaik dunia dan masih menjadi pemain utama di Liverpool -- tetapi dia mengakui kepulangan penuh emosi ke Celtic terlintas di fikirannya.

Robertson, dilepaskan oleh Celtic ketika berusia 15 tahun dan berhijrah Queen's Park sebelum berpindah ke Dundee United, Hull City dan kemudian ke Anfield.

Kini, kapten Scotland itu -- terlepas perlawanan Liga Negara-Negara kerana kecederaan -- adalah pemenang Liga Perdana Inggeris (English Premier League) dan Liga Juara-Juara (UCL).

Tetapi dia mendedahkan dia sering mempertimbangkan kembali ke Celtic sebelum kerjayanya tamat -- tetapi hanya jika dia boleh menjamin tahap prestasinya sendiri.

Itu bukan bermakna Robertson sudah memikirkan perpindahan meninggalkan Liverpool, dengan pemain pertahanan itu mengakui dia gembira untuk menamatkan kariernya di Anfield.

Tetapi jika tiba masanya dia akan berpindah, Celtic Park akan menjadi keputusan yang besar untuk pemain pertahanan itu.

Bercakap kepada Daily Record, dia berkata: "Setiap kali saya menonton Celtic, saya terlintas untuk berhijrah ke sana.

“Apabila anda menonton mereka dan melihat Celtic Park yang padat, sebagai peminat anda sentiasa mempunyai impian itu. Sebaik-baiknya saya mahu menamatkan kerjaya saya di Liverpool.

"Jika saya boleh kekal di puncak permainan saya, kekal puncak prestasi sepanjang karier saya, itulah laluan yang saya lalui.

“Tetapi juga, apabila saya menyaksikan Celtic beraksi ketika saya membesar, saya fikir saya mahu memberikan mereka tahun terbaik saya.

“Ketika saya berada di Queen’s Park, saya mempunyai impian untuk masih bermain dengan Celtic dan sentiasa bermimpi untuk memberikan tahun terbaik saya kepada Celtic."