Pertahanan kiri Liverpool, Andy Robertson, bakal menjalani imbasan selepas mengalami kecederaan buku lali yang disifatkan pengurus, Jurgen Klopp, 'cukup menyakitkan'.

Robertson mengalami kecederaan ketika seri 1-1 dalam aksi persahatan antara The Reds dan Athletic Bilbao di Anfield.

Pemain kebangsaan Scotland itu kelihatan terhincut-hincut selepas melakukan halangan hantaran silang sebelum digantikan oleh Owen Beck.

Klopp berkata ujian lanjutan akan dilakukan bagi mengetahui tahap kecederaan yang dialami, menimbulkan keraguan terhadap ketersediaan Robertson untuk perlawanan pembukaan Liverpool musim Liga Perdana Inggeris bertemu Norwich City 14 Ogos ini.

"Kami jelas tidak tahu pada masa ini betapa seriusnya kecederaan tersebut," kata Klopp.

"Ia sangat menyakitkan dan itulah sebabnya Andy tidak meneruskan perlawanan. Anda mungkin melihatnya di gambar TV lebih baik daripada kami, tetapi dia mendapat bola, bola di bahagian depan kakinya, [dan] pergelangan kaki kelihatan seperti terseliuh.

"Rasa sakit mungkin sudah tiada, tetapi kami tidak dapat mengatakan apa-apa lagi tanpa penilaian lebih lanjut hari ini. Dia harus menjalani pemeriksaan dan kemudian kami akan mengetahui lebih lanjut."

Diogo Jota menjaringkan gol pembukaan Liverpool sebelum Alex Berenguer menyamakan kedudukan pada awal babak kedua di hadapan penonton hampir 40,000.

Liverpool bertmeu Osasuna dalam perlawanan pra-musim terakhir sebelum musim 2021-22 bermula.