Arjen Robben telah menetapkan sasaran untuk beraksi dalam Piala Dunia 2018 bersama Belanda, sekaligus mengetepikan soal persaraan antarabangsa.

Tonggak Bayern Munich itu bergelut dengan kecederaan sejak beberapa musim lalu sehingga mendorongnya mempertimbangkan sama ada dia perlu memberi tumpuan kepada aksi di kelab demi memanjangkan kariernya.

Akhirnya, pemain berusia 33 tahun itu memilih untuk terus bersama pasukan kebangsaan dan berharap untuk menjadi sebahagian daripada skuad Danny Blind untuk beraksi dalam Piala Dunia akan datang di Russia -- dengan membantu Belanda untuk layak.

"Saya memberitahu diri sendiri untuk membuat pilihan di antara memberi tumpuan kepada Bayern semata-mata atau meneruskan kedua-duanya, iaitu Bayern dan pasukan kebangsaan," ujar Robben kepada De Telegraaf.

"Saya berbincang dengan isteri saya dan keluarga serta jurulatih pasukan kebangsaan, Danny Blind.

"Saya dalam keadaan cergas ketika ini. Sebab itulah saya membuat keputusan untuk meneruskan aksi dengan Bayern dan Oranje (Belanda).

"Saya mahu sekali lagi ke Piala Dunia dengan Belanda."

Belanda -- yang terlepas Kejohanan Euro 2016 -- menduduki tangga kedua Kumpulan A kelayakan Piala Dunia dengan tujuh mata daripada empat perlawanan, tercicir tiga mata daripada pendahulu, Perancis.

Mereka akan bertemu pasukan di tangga keempat, Bulgaria, di Sofia Sabtu ini.