BAYERN MUNICH 3 ANDERLECHT 0

Pemain sayap Bayern Munich, Arjen Robben, menuntut penambahbaikan dalam prestasi selepas permulaan musim yang hambar berterusan dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Liga Juara-Juara ketika berdepan Anderlecht.


Jaringan yang dihasilkan Robert Lewandowski, Thiago Alcantara dan Joshua Kimmich sudah memadai untuk melakar kemenangan ke atas Anderlecht, yang beraksi dengan 10 pemain sejak awal permainan.

Bagaimanapun, Bayern yang tewas 2-0 kepada Hoffenheim dalam saingan Bundesliga, masih jauh daripada prestasi terbaik di Allianz Arena.

Dan Robben menegaskan skuad kendalian Carlo Ancelotti itu tidak boleh bergembira dengan persembahan mereka walaupun meraih kemenangan 3-0.

"Kami perlu membuktikan kualiti kami di atas padang," kata Robben.

"Bayern seakan-akan tiada rentak, tiada keserasian. Kami perlu menunjukkan lagi semangat kami dan terus menjaringkan lebih banyak gol," katanya.

Pengendali pasukan, Ancelotti, ternyata berpuas hati dengan keputusan ini, namun mengharapkan sikap yang lebih profesional daripada pemainnya, Franck Ribery, yang dilihat berang apabila digantikan pada minit ke-78.

"Saya menjangkakan kemenangan dan kami berjaya melakukannya," kata Ancelotti.

"Ia bukan persembahan yang terbaik dan berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain.

"Ribery telah dilayangkan kad kuning dan dia memerlukan rehat. Saya tidak mengeluarkan Ribery kerana prestasinya."