Pengurus Bayern Munich, Carlo Ancelotti, menolak sebarang cadangan mengenai reaksi Arjen Robben selepas pemain itu digantikan ketika meraih kemenangan 1-0 ke atas Borussia Monchengladbach dalam saingan Bundesliga.

Pemain kebangsaaan Belanda itu tidak berpuas hati apabila Robert Lewandowski mengabaikannya ketika Bayern melancarkan serangan dan tidak berpuas hati apabila digantikan oleh Renato Sanches di penghujung perlawanan.

Respons Robben itu telah menjadi bahan ketawa barisan pemain gantian Bayern, Xabi Alonso, Franck Ribery dan Jerome Boateng, terhibur melihat situasi yang dihadapi oleh pemain sayap itu.
"Saya tidak pernah gembira ketika saya digantikan sewaktu saya bergelar pemain," kata Ancelotti.

"Saya tidak memiliki sebarang masalah dengan reaksinya."

Jaringan Thomas Muller dalam separuh masa kedua membantu Bayern melakar kemenangan tipis, sekaligus mengungguli takhta liga dengan kelebihan 13 mata di atas RB Leipzig dan Ancelotti berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

"Kami bermain dengan baik sejak awal permainan dan menghasilkan banyak peluang menjaringkan gol," katanya.

"Saya gembira dengan persembahan ini, tetapi pasukan lawan meningkatkan tempo permainan dan hampir menjaringkan gol.

"Saya tidak menjangkakan asakan daripada mereka selepas mengharungi perlawanan Liga Europa (UEL) pada Khamis."