Sejak 34 tahun lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diterajui kerabat diraja yang memiliki pengaruh dan dana besar untuk menjadikan badan induk itu sebagai persatuan paling kaya di Malaysia.

Kejayaan terbesar Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak memegang jawatan presiden pada 25 Mac tahun lalu adalah menyusun semula struktur bola sepak negara dan mendapatkan tajaan berjuta-juta ringgit sehingga setiap pasukan Liga Super menikmati geran RM3 juta setahun.

Kini, timbul persoalan tentang hala tuju FAM selepas Tunku Ismail mengumumkan peletakan jawatan, 25 Mac lalu, untuk memberi fokus selaku pengerusi Malaysia Football League (MFL).

Namun, pemerhati bola sepak, Rizal Hashim, berpendapat peranan MFL menjadi lebih besar berbanding FAM kerana ia mampu menjadi teras utama kepada kejayaan badan induk itu selepas ini.

“Kesan yang paling besar selepas Tunku Ismail meletakkan jawatan dan memberi fokus kepada MFL adalah peranan FAM akan dikecilkan, bermaksud FAM akan terus mengurus segala urusan dengan pihak seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, AFC dan FAM.

“Saya percaya ini adalah strategi Tunku Ismail untuk memperkasakan MFL, menjana pendapatan untuk disalurkan kepada FAM bagi mengurus perancangan seperti pembangunan peringkat remaja dan skuad kebangsaan,” ujar Rizal.

“Apa yang penting, pemangku atau pengganti presiden FAM selepas ini harus benar-benar memahami visi dan misi Tunku Ismail sebelum ini kerana baginda masih lagi bertindak sebagai penaung dan dalam masa sama menjadi pengerusi MFL.

“Jika presiden yang seterusnya tidak memahami perancangan sebelum ini, mungkin MFL boleh ditutup,” katanya.