Franck Ribery menyifatkan kejayaan menewaskan RB Leipzig di pentas final Piala Jerman sebagai penamat terakhir penuh bergaya buat kariernya bersama Bayern Munich.

Dua gol daripada Robert Lewandowski serta satu jaringan Kingsley Coman membolehkan Bayern memadamkan cabaran Leipzig 3-0 di Berlin awal pagi tadi.

Selepas mengucapkan selamat tinggal di Allianz Arena menerusi satu gol ketika kemenangan ke atas Eintracht Frankfurt minggu lalu, Ribery -- yang bakal meninggalkan pasukan bersama Arjen Robben dan Rafinha -- masuk selaku pemain gantian sebelum skuad kendalian Niko Kovac itu mengesahkan kejuaraan berganda domestik.

Dan pemain berusia 36 tahun itu menjelaskan kemenangan tersebut adalah cara terbaik untuk dia meninggalkan pasukan yang diwakili selama 12 tahun itu.

"Saya gembira," katanya.

"Ini adalah apa yang saya impikan, memenangi kejuaraan di penamat. Saya sangat bangga dengan persembahan hari ini buat seluruh pasukan.

"Sudah tentu saya sedikit sedih apabila detik ini telah tiba. Walaupun diletakkan di bangku simpanan, saya tetap beremosi menonton mereka beraksi.

"Saya gembira untuk menjadi sebahagian daripada kejayaan ini buat kali terakhir," katanya.

Leipzig yang tampil buat kali pertama di pentas final utama, menyaksikan Manuel Neuer melakukan aksi hebat untuk menafikan percubaan Yussuf Poulsen sebelum tandukan Lewandowski meletakkan Bayern di depan pada minit ke-29.

Neuer sekali lagi bertindak cemerlang, kali ini dalam babak kedua untuk menghalang percubaan Emil Forsberg sambil usaha Timo Werner turut dinafikan di atas garisan gol.

Bayern tampak begitu selesa setelah Coman menyumbat gol kedua sebelum Lewandowski mengesahkan kemenangan menerusi lambungan cantik.

"Sudah tentu ia mengecewakan," kata Poulsen.

"Saya rasa kami beraksi dengan baik. Kami pasukan lebih bagus dalam babak pertama tetapi tidak menggunakan kesempatan dan anda akan tewas jika tidak menyempurnakan peluang yang ada.

"Mereka harus lega kerana memiliki penjaga gol hebat. Dalam babak pertama, kami sangat bagus. Terdapat detik yang patut kami banggakan tetapi bukan hari ini," ujarnya.