Kelantan tampak serius mencabar kejuaraan Liga Perdana musim depan apabila sudah merangka persiapan awal menerusi pelantikan jurulatih baru.

Pengumuman itu dibuat pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman, apabila sah melantik Rezal Zambery Yahya sebagai jurulatih dalam satu sidang media di ibu negara, hari ini.

Norizam menawarkan kontrak tiga tahun selepas berpuas hati dengan sentuhan bekas pemain tengah Negeri Sembilan itu yang bertindak sebagai pemangku jurulatih bagi menggantikan Marco Ragini sebelum kempen Piala Malaysia.

Rezal, yang menyertai Kelantan sejak April tahun lalu sebagai penolong jurulatih, diletakkan sasaran untuk membawa mereka layak ke Liga Super 2023.

"Saya kalau boleh mahu menawarkan kontrak jangka masa panjang kerana tidak mahu pendekatan yang berubah-ubah, ia boleh mengganggu momentum.

"Saya selesa dengan apa yang dibuatnya. Dalam tempoh tiga tahun, dia mungkin boleh ditukarkan sebagai pengarah teknikal," kata Norizam.





Rezal sedia menyahut cabaran yang ditetapkan sungguhpun masih mentah dalam arena kejurulatihan.

"Tekanan memang biasa dalam bola sepak. Apa pun sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan, mahu tidak mahu kami perlu cuba capai.

"Saya sangat positif dalam bola sepak. Pemilik mahu kami buat persiapan awal jadi saya perlu ambil serius terhadap sasaran yang ditetapkan," kata Rezal.