Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya, memuji tindakan UKM FC yang tidak menamatkan kontrak Helmi Hariri Ibrahim walaupun pemain itu berdepan risiko tidak boleh beraksi akibat patah tulang belakang.

Helmi, penyerang UKM dan juga adik kepada pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Syahrul Azwari, terlantar di unit rawatan rapi (ICU), sebuah hospital pakar di ibu negara.

Ia susulan pemain berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan serius di bahagian tulang belakang dan memerlukan masa lama untuk kembali pulih sepenuhnya.

Ketika Helmi terpaksa melupakan seketika kariernya, UKM FC bagaimanapun tetap mengekalkan tempatnya untuk skuad 2018 sebagai mengenang jasa pemain itu dengan pasukan terbabit.

"Kami di PFAM mahu merakamkan terima kasih kepada UKM FC kerana menjaga kebajikan Helmi," kata Rezal.

Helmi menerima kunjungan PFAM serta rakan sepasukan UKM FC hari ini.

Mereka ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa sedih terhadap nasib yang menimpa Helmi, termasuk ibunya, Salma Mamat.

"Saya amat sedih kerana keadaan yang menimpa Helmi. Saya mengucapkan terima kasih di atas semangat serta doa buat Helmi," kata Salma.