Marco Reus menegaskan dia tidak akan terlepas saingan Piala Dunia buat kali kedua dan berharap untuk berada dalam skuad Jerman untuk beraksi di Russia.

Penyerang Borussia Dortmund itu tidak beraksi dalam edisi 2014 kerana kecederaan buku lali, memaksa dirinya hanya menonton Jerman cemerlang di Brazil.

Turut terlepas saingan Euro 2016, Reus menegaskan dia akan beraksi dalam kejohanan terbesar bola sepak dunia itu.

Pemain berusia 28 tahun itu baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut pada Mei lalu dan hanya menjaringkan tiga gol buat Dortmund.

"Saya berharap dapat beraksi dalam Piala Dunia," kata Reus.

"Keterujaan saya mula membuak-buak dan mahu kembali bersama skuad kebangsaan.

"Kami akan melihat keputusan jurulatih terlebih dahulu."

Reus mendedahkan dia kerap menghubungi jurulatih Jerman, Joachim Low.

"Kami kerap berhubung, membincangkan mengenai kecederaan saya."