Pemain sayap Jerman, Marco Reus, teruja untuk bersatu semula dengan Lucien Favre di Borussia Dortmund susulan pelantikannya sebagai pengurus yang dilabelnya sebagai yang terbaik.

BVB menamakan pengurus berusia 60 tahun dari Nice itu dengan kontrak dua tahun kerana mereka mencari kestabilan berikutan percubaan yang tidak berjaya menerusi Peter Bosz dan Peter Stoger.

Favre yang berpengalaman luas tiba di Signal Iduna Park dengan rekod mantap Bundesliga sewaktu mengemudi Hertha Berlin dan Borussia Mönchengladbach.

Reus akhirnya berpeluang bekerjasama dengan pengendali kelahiran Switzerland itu serta yakin Dortmund telah membuat pilihan yang tepat.

"Saya sudah mempunyai beberapa jurulatih kelab dan dia mungkin yang terbaik," kata Reus kepada laman sesawang Persatuan Bola Sepak Jerman.

"Sudah tentu, banyak masa telah berlalu sejak kami bekerja bersama-sama di Gladbach. Ia mencerminkannya sebagai jurulatih hebat, baik di bilik persalinan mahupun di lapangan. Dia melakukan sendiri segala-galanya dan mempunyai kawalan penuh.

"Saya harap itulah cara kerja Lucien Favre pada hari ini dan kami akan kembali menjulang Dortmund," ujarnya.

Reus kini bersama pasukan kebangsaan yang sedang mengadakan persiapan menghadapi kempen Piala Dunia sulungnya setelah gagal dalam kejayaan Jerman di Brazil akibat kecederaan.

Pemain berusia 28 tahun itu tidak ragu-ragu bahawa barisan Joachim Low berpotensi menjadi negara ketiga untuk mempertahankan mahkota kejuaraan, namun mengeluarkan amaran bahawa perjalanan mereka masih jauh.

"Saya yakin jika pasukan berjaya mendapat rentak, semuanya akan berjalan lancar. Jerman mempunyai peluang besar untuk melakukannya," katanya.

"Tetapi, kami tidak mahu meramalkan siapa lawan yang bakal kami hadapi di peringkat suku akhir. Tiada siapa yang boleh memandang rendah kumpulan kami dengan kehadiran Mexico, Korea Selatan dan Sweden kerana ia akan menjadi sangat mencabar.

"Dan ketika kejohanan ini nanti, kami pasti akan berdepan sekurang-kurangnya satu atau dua perlawanan getir atau beberapa insiden."