Pemain sayap, Marco Reus, bersetuju dengan tawaran kontrak baru Borussia Dortmund, sekali gus bakal kekal di Signal Iduna Park sehingga Jun 2023.

Kontrak sedia ada pemain Jerman itu akan tamat pada penghujung musim depan tetapi dia jelas mahu menyelesaikan masa depannya dengan lebih awal untuk terus bersama pasukan.

Reus memulakan karier bersama skuad muda Dortmund sebelum berhijrah ke Borussia Monchengladbach dan kembali menyertai Dortmund ketika era Jurgen Klopp.

Pemain berusia 28 tahun itu mempunyai 29 penampilan bersama skuad kebangsaan, namun terlepas aksi Piala Dunia 2014 akibat masalah kecederaan buku lali.

“Sejak 2012, saya telah menyarung jersi utama Dortmund dan saya gembira untuk mengumumkan hari ini bahawa saya akan terus mengenakannya.

“Sejak kecil, saya mengidamkan untuk beraksi dalam warna kuning dan hitam Dortmund. Terima kasih kepada penyokong yang sentiasa memberikan sokongan.

“Hans-Joachim Watzke dan Michael Zorc tidak pernah berputus asa untuk membantu saya, jadi saya juga harus berterima kasih kepada mereka,” kata Reus.

Zorc yang merupakan pengarah sukan kelab mengakui gembira di atas persetujuan kontrak baru itu.

“Kami gembira dengan persetujuan Reus. Walaupun wujud tawaran daripada beberapa kelab besar Eropah, dia tetap memberikan komitmen penuh buat kami dan memperbaharui kontraknya,’ ujar Zorc.