Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, yakin barisan jurulatih Tambadau yang diketuai Jelius Ating mempunyai perancangan untuk bangkit memburu kemenangan apabila menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, malam esok.

Katanya, Sabah perlu memberi bertindak balas terhadap kekalahan 0-3 kepada Perak, kelmarin, dengan kemenangan sekiranya mahu terus menghidupkan peluang bagi melepasi saingan peringkat kumpulan.

"Setakat ini, semua pemain bersedia untuk beraksi dan ia membolehkan barisan jurulatih menyenaraikan barisan terbaik.

"Saya percaya barisan jurulatih yang diketuai Jelius juga sudah ada perancangan untuk memburu mata penuh pertama kami.

"Kekalahan 0-3 kepada Perak dalam perlawanan pertama memang mengecewakan tetapi ia bukan penamat tetapi baru permulaan, dan ia tidak perlu difikirkan lagi tetapi perlu diberi respons dengan kemenangan.

"Kami perlu mula dapatkan kemenangan kerana saingan peringkat kumpulan ini singkat dan setiap mata amat penting," katanya.

Sementara itu, Jelius ketika dihubungi berkata beliau kemungkinan akan mengekalkan kesebelasan utamanya sebelum ini untuk aksi esok.

"Kalau ada perubahan pun mungkin satu saja kerana saya masih mempertimbangkan antara Maxsius (Musa) dan Jenius (Karib) dalam kesebelasan utama, kami akan putuskan selepas sesi latihan petang ini," katanya.