Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, memuji skuad bimbingannya selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

Ketiadaan tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh, yang diketepikan pada saat-saat akhir akibat kecederaan juga melegakan Irfan sambil menyifatkan TFC mempamerkan keinginan untuk membawa pulang tiga mata.

Bekas jurulatih Felda United itu berkata permainan keras yang ditonjolkan berjaya mematikan langkah lawan dengan pengadil memberi amaran demi amaran serta layangan tiga kad kuning kepada mereka.

"Pemain-pemain beraksi cukup baik dan berjaya menyekat kemaraan Patrick Cruz (dos Santos), Mohd Faisal (Abdul Halim) dan Nor Azam (Abdul Azih) daripada bermaharajalela.

"Saya berpuas hati dengan corak ditunjukkan Terengganu. Rentak agresif itu mencantikkan persembahan kami," jelasnya.

Irfan turut gembira pemain-pemainnya menamatkan rentetan aksi hambar yang menyaksikan Sang Penyu sekadar meraih satu mata daripada tiga perlawanan terdahulu.

Fokus kini akan diberi untuk memperkemaskan rentak menjelang aksi pada bulan puasa selain meletakkan sasaran meraih enam mata dalam dua aksi berikutnya di tempat sendiri menentang Perak dan Melaka United.

"Cukuplah dua kali tewas di Kuala Terengganu, saya tidak rela mengalami kekalahan di depan penyokong sendiri.

"Terengganu tidak boleh terus keciciran daripada kelompok atasan," jelasnya lagi.

Dalam aksi di Kuantan, malam tadi, TFC memiliki dua peluang terbaik menerusi Lee Andrew Tuck pada minit pertama dan minit ke-38, namun percubaannya mengenai tiang gol.

Serangan balas pelawat pada minit ke-62 membuahkan hasil apabila Mohd Faiz Nasir menyudahkan hantaran kapten, Kipre Tchetche, dari sebelah kiri untuk gol tunggal perlawanan.

Percubaan pemain sayap, Salamon Raj, pada minit ke-77 sekadar terkena palang, sekali gus mengecewakan hampir 10,000 penyokong tuan rumah.