Penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining, dipilih sebagai pemain terbaik Liga Perdana bagi bulan Februari oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan asiana.my (PFAM-asiana.my).

Rendy, 25, adalah satu-satunya pemain tempatan yang tercalon untuk pemilihan pemain terbaik itu dengan empat lagi adalah pemain import.

Selain Rendy, pemain lain yang dicalonkan ialah Gilberto Fortunato daripada Felda United, Anselmo Arruda Da Silva (Felcra FC), Lucas Pugh (UiTM FC) dan Zarco Korac (Kuantan FA).

Pemilihan pemain terbaik bagi bulan Februari itu ditentukan menerusi undian di laman web rasmi PFAM.

Rendy yang berasal dari Beaufort mula diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, sebagai penjaga gol utama pada musim ini selepas hanya memainkan peranan sebagai pemain gantian pada musim lalu.

Daripada lima perlawanan yang diharungi Sabah setakat ini, Rendy hanya dibolosi empat gol, iaitu dua dalam aksi liga dan dua lagi dalam saingan Piala FA.

Bagaimanapun, prestasi baiknya dalam setiap perlawanan sebelum ini menjadi sebahagian daripada faktor permulaan baik Sang Badak musim ini.

Antara peranan besar yang dimainkan Rendy ialah ketika membantu Sabah mengikat Felcra FC 1-1 di gelanggang lawan selepas dia menyelamatkan sepakan penalti pemain lawan pada minit-minit akhir perlawanan.

Selain itu, aksi baiknya turut menjadi tumpuan apabila berjaya menidakkan cubaan berbahaya pasukan lawan, termasuk beberapa kali menyelamatkan gawangnya dalam keadaan satu lawan satu.

*Kredit imej Jaiman Taip