Umum mengetahui, senario bola sepak di Malaysia pada fasa tenat pasca kegagalan dalam saingan Piala AFF.

Sejak itu, pelbagai kritikan dari pemain ke-12, penyokong Harimau Malaya menuntut penjelasan di sebalik aksi hambar di bumi Singapura.

Atas faktor itu, laporan penuh bedah siasat bakal diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) esok.

Badan induk itu juga dijangka menggunakan khidmat jurulatih asing dalam usaha mengembalikan maruah skuad negara.

Namun persoalannya, adakah relevan tenaga pakar luar negara?

Bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh berkata, "Bagi saya, jurulatih mana sekalipun yang dilantik, perkara paling penting adalah persiapan pasukan sebelum perlawanan.

"Kita selalu mahu mendapatkan keputusan dalam kadar segera. Jika apabila mengalami kekalahan, jurulatih yang diletakkan tanggungjawab. Jika dipanggil jurulatih kelas dunia sekalipun, tidak mungkin ia mampu mengubah nasib skuad kebangsaan.

"Perkara paling penting adalah persiapan, itu paling penting. Kerana tanpa persiapan, melantik jurulatih luar sekalipun, ia akan menjadi satu pembaziran."