Lucas Moura memuji pendekatan menyerang Tottenham untuk menjadi pasukan kedua dalam lima liga utama Eropah mencapai jumlah 100 gol dalam kesemua kejohanan musim ini.

Gol keempat Tottenham yang dijaringkan Harry Kane ketika menewaskan Crystal Palace 4-1 hujung minggu lalu memastikan Spurs mencapai jaringan tiga angka musim ini.

Hanya Bayern Munich (106) telah menjaringkan lebih banyak gol sepanjang musim 2020-21 dalam kelompok kelab-kelab elit Eropah.

Tottenham telah menjaringkan 13 gol daripada empat perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan dengan pengurus, Jose Mourinho, mempertaruhkan gandingan Kane, Son Heung-min dan Gareth Bale di bahagian depan.


Kualiti yang dimiliki gandingan Kane dan Son sememangnya sudah diketahui selepas mereka memecahkan rekod Alan Shearer dan Chris Sutton sebagai rekod bantuan dan jaringan sesama sendiri dalam 14 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini tetapi kehadiran Bale menambahkan lagi kekuatan mereka.

Pemain kebangsaan Wales itu telah menjaringkan enam gol daripada lima perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan, termasuk tiga berturut-turut di laman sendiri selepas hanya menghasilkan empat gol dalam 16 penampilan pertama untuk Spurs musim ini.

"Kami mempunyai terlalu banyak kualiti dan jika kami terus mengawal bola dan melakukan serangan, kami mengurangkan risiko untuk pasukan lawan menyerang kami dan mereka boleh memenangi perlawanan buat kami," kata Moura.


"Bagi saya, kami mempunyai pemain yang luar biasa, kami mempunyai pemain yang kreatif dan kami perlu mengawal bola untuk menguasai perlawanan. Perkara terpenting adalah kami menggunakan pemain seperti ini dalam setiap perlawanan.

"Saya amat gembira, saya amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan berasa amat selesa bermain bersama mereka. Saya gembira bersama pasukan ini dan gembira dengan keputusannya. Kami hanya perlu meneruskannya seperti ini.

"Saya fikir perkara utama adalah mentaliti kerana kami hanya memerlukan keyakinan terhadap diri kami.

"Kami perlu sedar betapa bagusnya kami kerana kami memiliki pemain yang hebat, skuad yang amat bagus dan kualiti untuk memenangi perlawanan EPL. Apabila kami menyedarinya dan mempunyai keyakinan, kami mampu menguasai perlawanan," katanya.