Peningkatan mendadak dalam persembahan Tommy Mawat Bada sekembali daripada latihan skuad Sukan SEA Kuala Lumpur, benar-benar melegakan jurulatih Sarawak, David Usop.

Menurutnya, Tommy melakar gaya permainan matang apabila beraksi menentang Kelantan dan JDT pada minggu lalu, sekali gus melontar keyakinan kepada pengendali Ngap Sayot itu bahawa dia mempunyai potensi yang besar.

Meski dihambur pujian, anak muda itu tidak mudah meninggi diri.

"Ya, memang banyak perkara positif baharu yang saya timba daripada rejim latihan Datuk Ong Kim Swee.

"Ilmu baharu itu saya harap dapat digarap untuk membantu pasukan ini (Sarawak)," katanya.

Tommy berkata persembahannya dalam dua aksi terakhir sebenarnya didorong oleh semangat berpasukan yang tinggi.

"Persefahaman dan kerjasama yang menjadikan kami lebih berkesan, terutama ketika aksi meletihkan menentang Kelantan.

"Semua pemain dapat mengikut arahan dan melaksanakan peranan masing-masing," tambahnya.

Mengenai dua pemain import baharu, Sahil Suhaimi dan Milos Raickovic, Tommy berkata, kedua-duanya semakin menyerlahkan keserasian.

"Mereka semakin menyerap corak permainan kami dan saya berharap ia akan membantu dalam menghadapi persembahan akan datang."

Sarawak akan beraksi menentang The Red Giants malam ini dan Tommy berharap rakan-rakan sepasukannya dapat memberikan saingan sengit.

"Kami sedar Selangor agak kuat tetapi saya berharap kami akan dapat menggunakan kelebihan di tempat sendiri untuk memberikan saingan.

"Saya juga berharap keserasian ketika menang 2-0 di Kelantan diulangi.

"Ia juga bergantung kepada taktikal jurulatih dan kami perlu bersedia dari segi mental dan kecergasan," katanya lagi.